BALING – Seorang remaja cedera apabila
dia dan lima rakannya disambar petir dalam kejadian di sebuah gua di
kaki Gunung Pulai berdekatan Kampung Tok Bandar di sini petang Khamis.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang di gua
yang dikenali sebagai Gua Ular, Mohd Ashraf Yusof, 17, mengalami
kecederaan di kepala sementara lima rakannya yang turut berada di situ
kebas seluruh badan.
Ketika kejadian, enam remaja berkenaan
berteduh di kawasan itu kerana hujan lebat dan petir. Lima daripada
mereka termasuk Mohd Ashraf adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Syed Abu Bakar di sini.
Lima lagi mangsa adalah Mohd Bukhari
Ramli, 17, (bukan pelajar) Mohd Azri Ahmad, 17, Mohd Amin Azman, 15, dan
Mohd Azam Md Nor, 16 serta adiknya Mohd Nizam, 13.Mohd Bukhari berkata mereka duduk di
atas tanah ketika disambar petir dan masing-masing kebas seluruh badan.
“Salah seorang rakan kami melaungkan azan selepas petir kuat berlaku dan
kami segera membantu Mohd Ashraf yang rebah dengan seluruh badannya
mengeletar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Khamis.
Mohd Ashraf pengsan selepas kejadian
itu. “Saya dan rakan lain berusaha membantu Mohd Ashraf dengan menarik
badannya beberapa kali sebelum dia sedar,” kata Mohd Azri.
Mereka memapah Mohd Ashraf pulang ke
rumahnya yang sejauh 500 meter sebelum penduduk kampung menghantar
mereka untuk mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Baling. – Bernama
0 comments:
Post a Comment